Sunday, 14 April 2013

PERAYAAN KAUM DI MALAYSIA



Hari Raya 

Hari Raya merupakan perayaan masyarakat Melayu dan penganut agama Islam. Sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula dengan ibadat puasa di bulan Ramadan. Sepanjang bulan Ramadan umat islam berpuasa pada siang hari dan mengerjakan sembahyang terawih pada sebelah malamnya. Zakat fitrah wajib dikeluarkan sebelum 1 syawal di mana Hari Raya Aidilfitri dirayakan. Hari Raya disambut dengan penuh kesyukuran. Umat Islam saling bermaaf-maafan dan kunjung mengunjungi untuk mengeratkan silaturahim. Rumah terbuka akan diadakan bagi mempersilakan tetamu datang berkunjung.


Tahun Baru Cina 


Perayaan ini disambut secara besar-besaran oleh masyarakat Cina di Malaysia yang menandakan kedatangan tahun baru menurut kalendar mereka. Orang Cina percaya ada 12 binatang yang menaungi kalendar mereka iaitu tikus , lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam jantan, anjing dan babi. Setiap binatang ini memberi signifikan dan tuahnya tersendiri.
Pada malam Tahun Baru semua ahli keluarga berkumpul beramai-ramai untuk makan bersama.Tujuannya adalah untuk mengeratkan jalinan hubungan sesama keluarga. Ahli kelurga yang telah berumahtangga akan memberi 'angpau' kepada saudara mara dan sahabat yang belum berumahtangga. 'Angpau' membawa pengertian kesejahteraan yang berpanjangan, ianya sejenis sampul berwarna merah dan diisi dengan sejumlah wang. Buah limau mandarin dan kuih bakul merupakan kemestian yang perlu ada semasa merayakan Tahun Baru Cina.
Sepanjang Tahun Baru Cina berlangsung, tarian singa dimainkan dari rumah ke rumah dan kedai-kedai untuk memberi berkat kepada mereka yang meraikan perayaan tersebut. Penutup kepada perayaan Tahun baru Cina ialah perayaan Chap Goh Meh.
Perayaan Deepavali
Perayaan ini disambut oleh masyarakat Hindu. Ianya dirayakan pada bulan gelap bernama ’aippasi’ pada bulan Oktober dan November. Deepavali bermaksud ‘sebarisan pelita’. Dengan memasang pelita, mereka percaya bahawa kecerahan mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi kejahatan, keadilan mengatasi kezaliman dan kebijaksanaan mengatasi kejahilan. Di pagi hari, masyarakat Hindu akan menyucikan tubuh badan dengan memakai sedikit minyak di kepala dan mandi. Kemudian mereka bersembahyang di rumah atau dikuil-kuil.

Selepas bersembahyang, mereka berkunjung ke rumah kaum keluarga.Kebiasannya, surirumah akan menyediakan kotak-kotak kecil berisi manisan dan membawa bersama apabila berkunjung ke rumah saudara-mara mereka. Di kebanyakan rumah, ‘rangoli’ iaitu lukisan yang dibuat daripada tepung beras berwarna-warni akan menyambut tetamu di hadapan rumah.
Hari Krismas
 Perayaan ini dirayakan oleh penganut Kristian pada 25 hb Disember sebagai mengingati kelahiran Jesus Christ. Sambutan Krismas dimeriahkan dengan hiasan pohon krismas yang dipasang dengan lampu berwarna warni. Bungkusan-bungkusan hadiah diletakkan di bawah pokok untuk dibuka pada hari tersebut Christmas Carol dinyanyikan di rumah-rumah penganut Kristian oleh kumpulan koir yang diundang. Tuan rumah akan memberi derma kepada kumpulan koir tersebut kerana persembahannya. Pada malam tersebut, mereka bergembira dengan menyanyi dan menari. Kanak-kanak tidak digalakkan mengikut mereka sebaliknya disuruh tidur kerana semasa mereka tidur, mereka percaya Santa Claus akan datang membawa hadiah kepada mereka. Sepertimana perayaan masyarakat lain, pada pagi hari Krismas mereka akan mengunjungi gereja-gereja untuk upacara sembahyang.



Pesta Kaamatan
 

Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai ini disambut oleh kaum Kadazan / Dusun sebagai meraikan tuaian yang baik, tetapi Pesta Kaamatan juga disambut oleh semua kaum lain di Sabah. Pesta Kaamatan biasanya disambut sepanjang bulan Mei, bermula dari awal bulan. Kemuncak perayaan Kaamatan adalah peraduan ratu cantik, tarian tradisi, dan upucara kemuncak yang dijalankan oleh Bobohizan atau "ketua bomoh." 

Ketika pesta Kaamatan, penduduk Sabah mengenakan pakaian tradisi mereka dan bersuka-ria sepanjang hari. Minuman tapai "arak beras" dihidangkan sebagai minuman istimewa Pesta Kaamatan. Penduduk Sabah akan menyapa sesama mereka dengan ucapan 'Kopivosian Tadau Ka'amatan' yang bermaksud ‘Selamat Hari Menuai’.
 

 

1 comment:

  1. Bagusnya penjelasan tentang perayaan kaum di Malaysia!

    ReplyDelete